Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah untuk mara ke final Piala FA 2023 apabila berjaya membelasah Selangor 4-0 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Arif Aiman Mohd Hanapi menjadi watak penting pada perlawanan ini apabila beliau meledakkan hatrik pada separuh masa pertama.

Aksi seimbang ditampilkan pada peringkat awal di mana Selangor turut dilihat selesa dalam membuka ruang bagi mencipta mengancam kubu tuan rumah yang dikawal Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Namun, selepas jaringan pembukaan yang dihasilkan oleh Arif Aiman pada minit ke-20, segalanya tampak mudah buat JDT.

Jaringan tersebut terhasil berpunca daripada serangan balas pantas susulan hantaran jauh Jordi Amat yang gagal ditanduk dengan baik Fazly Mazlan di tengah padang.

Keadaan itu membolehkan Fernando Forestieri melorongkan bola kepada Arif Aiman yang kemudiannya dengan tenang menewaskan Mohd Khairulazhan Mohd Khalid.

Arif Aiman cemerlang dengan hatrik diledakkanya. Kredit Foto: Malaysian Football League (MFL)

Penyokong JDT sekali lagi melonjak kegembiraan ketika permainan memasuki minit ke-33 selepas rembatan padu Arif Aiman mencari ‘top corner’ menjadikan kedudukan 2-0.

Lima minit kemudian, Arif Aiman membuktikan dirinya merupakan pemain terbaik pada ketika ini selepas beliau melengkapkan hatrik hasil sungkitan mudah setelah berjaya melepasi kawalan pertahanan lawan.

Tidak cukup dengan tiga jaringan tersebut, JDT menambah gol pada minit ke-47 menerusi Forestieri yang merembat bola bola daripada jarak dekat setelah beliau merampas bola daripada kaki pemain pertahanan Selangor, Ahmad Khuzaimi Piee.

Ketinggalan empat gol, pemain Selangor tidak berputus-asa untuk mengintai peluang bagi mendapatkan jaringan. Namun, ketangkasan Ahmad Syihan di gawannya menggagalkan beberapa usaha terbaik dimiliki mereka.

Kemenangan mudah dilakarkan di laman sendiri tersebut menyaksikan skuad kendalian Esteban Solari itu akan bertemu Kuala Lumpur (KL) City pada perlawanan akhir nanti.